Search
Laman Sosial
    Muhamad Kamarkasyidi

    Create Your Badge

     

Mesennger

     

Penaja

     

     

     

     


PostDateIcon

 

PostDateIcon

“Unggun” Karya Ibu Tersiar Di Akhbar.

Assalamualaikum & Salam Sejahtera,

Alhamdulillah, saya baru pulang bercuti dari Pulau Redang kelmarin. InsyaAllah, tulisan saya selepas ini akan cerita sedikit sebanyak tentang percutian di Pulau Redang yang sejak tahun 2005 lagi kami sekeluarga berkunjung kesana setiap tahun.

Pada kali ini, Saya nak lampirkan bersama tulisan (cerpen) bonda saya yang tersiar di akhbar Mingguan Malaysia minggu lepas. Sepatutnya minggu lepas lagi saya tuliskan tetapi disebabkan program di Pondok Bukit Puteri, tak sempat saya nak tulis disini.

Dibawah ini saya copy & pastekan cerpen yang ditulis oleh ibu saya. Harap dapat para sahabat pelawat membacanya, Kredit kepada Mingguan Malaysia@Utusan Bonda saya, Hjh. W. Kursiah Awang ( http://www.WanKursiah.com ).

UNGGUN

 

API itu masih membara. Membakar seluruh jiwa dan raga. Setiap tegur dan sapa teman di sepanjang laluan ibarat siraman minyak ke atas unggun. Lidah api akan menyelar sesiapa sahaja. Meskipun yang bertanya tiada sekelumit niat untuk membakar rasa yang kian terbakar.

“Awak sepatutnya bersyukur kerana masih berada di sini. Kedudukan awak sudah cukup baik berbanding dengan yang lain-lain, “Kata ketua yang baru sekejap melaporkan diri.

“Tapi, awak mencantas peluang saya untuk duduk di kerusi yang sedang awak duduki itu. Awak main kotor. Awak masuk ikut pintu belakang. Sedangkan perbincangan masih berlangsung di meja hadapan.”

“Saya datang dengan surat kuasa. Rezeki menyebelahi saya. Jawatan ini sah diperuntukkan kepada saya. Meskipun nama awak yang diuar-uarkan untuk menduduki kerusi ini, tetapi nama saya yang tertulis di sini, bukannya nama awak,” kata sang ketua itu lagi.

“Awak oportunis. Pada saat mantan ketua kita memerlukan sokongan, awak berada di mana? Awak lari ke tempat lain. Awak tidak bersedia untuk jatuh bangun bersama ketua kita. Awak lari ke daerah lain. Awak pergi untuk mencari pengaruh untuk diri sendiri. Awak pergi untuk memperkasakan diri awak sahaja. Sengaja awak mencari dahan yang lebih kukuh untuk bergayut. Sengaja awak tinggalkan kami berhempas pulas untuk terus hidup dan bernafas kembali.”

“Adat dalam perjuangan. Asas yang kukuh merupakan aset penting untuk menang. Strategi yang kuat dan mapan pemangkin kejayaan. Saya tidak nampak peluang yang cerah untuk menang jika saya terus kekal di sini. Strategi saya kini berjaya. Awak telah kecundang di tangan saya. Awak menyokong pihak yang lemah. Sampai bila pun orang tidak akan nampak keistimewaan yang yang ada pada awak kerana awak berpaut di dahan yang rapuh. Bekerjasamalah dengan saya dan saya akan sokong awak terus mara ke atas.”

“Harapkan sokong, sokong yang membawa rebah. Semasa awak berada di sini dulu, saya telah memberikan sokongan padu pada awak. Tapi kepercayaan saya kepada awak telah hilang setelah awak lari. Kononnya awak tidak sebulu dengan mantan ketua kita. Awak perlu keluar untuk mencari pengaruh. Awak tinggalkan kami yang hampir nazak. Dengan susah payah kami membina keyakinan baru. Dengan susah payah kami bangkit kembali. Senang-senang pula awak kembali untuk memegang tampuk pemerintahan ini.” Cetus suara halus itu lagi.

“Dalam perjuangan, memerlukan orang yang agresif macam saya. Datuk mahu mengangkat kembali martabat PRIME. Orang yang tidak menonjol dan lemah macam awak tidak sesuai untuk menjayakan misi ini. Sebab itulah saya yang dipilih, bukannya awak.”

“Misi untuk menjahanankan anak bangsa. Misi untuk terus menghanyutkan para remaja dalam ilusi. Semasa di sini dulu pun awak memang terkenal dengan misi dan visi yang tidak pernah berpijak di bumi nyata. Misi awak di awang-awangan. Kehidupan kami penuh dengan lakonan. Saya amat bencikan lakonan. Saya tidak suka berlakon. Sayalah orang paling menderita apabila disuruh berlakon. Namun saya akui bahawa awak pelakon yang paling handal. Pelakon serba boleh. Dan lakonan awak telah mendapat pengiktirafan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.”

“Saya menari mengikut rentak zaman sekarang. Awak menari mengikut rentak zaman dahulu. Saya mahu awak menari mengikut rentak saya, barulah awak boleh berjaya. Saya mahu awak bekerjasama dengan saya jika awak ingin berjaya.” Tegas ketua baru itu lagi.

Mengugut

“Sekarang awak sudah pandai mengugut saya. Dulu, ketika awak berkrisis dengan mantan ketua, sayalah tempat awak mengadu dan menagih buah fikiran. Pada masa itu pun saya tidak pernah memberikan buah fikiran yang boleh menjahanamkan organisasi kita. Saya tidak pernah memberikan cadangan yang boleh memutuskan tali perpaduan. Nasihat saya berupa serangkai ukhwah, seperdu hasrat, secangkir nikmat untuk kita hirup bersama-sama. Saya selalu nasihatkan awak supaya patuh kepada ketua. Seburuk-buruk mana pun, dia tetap ketua kita. Saya nasihatkan awak supaya memenuhi hati nurani warga kita dengan aroma perpaduan dan kasih sayang secara berhemah. Tetapi, ucap utama awak kini berbaur ugutan.”

“Sudah saya katakan tadi. Dulu, saya orang nombor dua. Kini saya yang memegang tampuk pemerintahan ini. Saya mahu semua orang mengikut kata dan kehendak saya, jika ingin berjaya.” Tegas ketua baru itu lagi.

“Awak sudah berjaya menunjukkan ciri-ciri PRIME. Awak tidak boleh memerintah sendiri secara crime. Awak memerlukan sokongan kami semua. Tidak semua idea awak itu boleh diguna pakai pada semua tempat dan kepada semua orang. Hanya orang-orang tertentu sahaja yang boleh menerima idea awak bulat-bulat. Rata-rata ahli akademik yang berpijak di bumi nyata tidak sebulu dengan awak. Mereka mempunyai pemikiran yang lebih rasional dan bernas. Mereka lebih sistematik dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan. Dan ahli akademik inilah yang awak selalu letak di pinggiran, “protes suara halus itu lagi.

“Itu adalah kehendak organisasi. Aliran teknik dan vokasional memerlukan komitmen padu kakitangan aliran teknikal,” ujar ketua lagi.

“Bagaimanakah nasib staf akademik kalau awak juga berpendirian sedemikian? Dalam satu rumah, seorang bapa yang baik sepatutnya bertanggungjawab menjaga kebajikan semua anak di bawah tanggungannya tanpa pilih kasih. Segala tugas dan tanggungjawab diagih sama rata. Segala sumber pendapatan yang diperoleh juga dinikmati bersama-sama tanpa berlebih kurang. Hakikatnya, guru akademik memikul beban yang berat sepanjang masa sedangkan staf teknikal masih boleh berdendang sayang. Mereka cenderung untuk memikul tugasan sampingan dan menggelek tugasan wajib yang diamanahkan. Awak masih menyokong mereka.”

Tidak terpilih

“Pendirian awak itulah yang menyebabkan awak tidak dipilih untuk mengetuai organisasi ini. Aliran teknikal, tetap memerlukan ketua yang datangnya dari aliran teknikal juga.”

“Walaupun orang itu masih muda dan kurang kelayakan akademiknya?”

“Itulah peraturannya.”

“Kalau begitulah dasarnya, sangat tidak adil bagi yang rajin berusaha dan rajin bekerja. Dasar itulah yang merosakkan prestasi pelajar aliran vokasional. Mereka telah diasuh dan dididik oleh segelintir tenaga pengajar yang berperangai sedemikian. Sebab itulah mereka kurang rajin belajar dan tidak menumpukan perhatian kepada mata pelajaran teras dalam akademik. Cita-cita mereka tidak tinggi kerana mereka sejak dari awal lagi telah dijanjikan dengan pelbagai keistimewaan. Daya saing mereka untuk cemerlang dalam pelajaran juga teramat lemah. Golongan pelajar macam inikah yang awak inginkan? Golongan pelajar macam inikah kelak yang bakal menjadi pemimpin organisasi yang awak bangga-banggakan?” Protes suara halus itu lagi.

“Berani awak mengkritik dasar negara!”

Mengkritik

“Saya tidak mengkritik dasar negara tetapi saya mengkritik pelaksana dasar negara yang membabi buta. Mereka sebenarnya tidak dapat memahami matlamat yang tersembunyi di sebalik dasar yang ditetapkan itu. Pelaksana itu yang kurang menghayati maksud yang tersirat di sebalik penetapan sesuatu dasar. Hanya jauhari yang mengenal manikam. Tetapi sayang sekali ada pihak tertentu yang tidak mengenali jauhari tersebut. Perwatakan jauhari itu dikaburi oleh badut-badut dan panglima-panglima perang yang senantiasa menempel.”

“Dalam sekali maksud sindiran awak.”

“Terima kasih sekiranya awak perasan akan sindiran saya itu. Akan tetapi adakalanya, banyak pihak yang perasan tetapi buat-buat tidak tahu.”

Perbincangan, sekiranya boleh disebut perbincangan tergantung di situ sahaja. Dan esoknya, dia dipanggil mengadap mantan ketua yang bakal dinyahkan dari situ pada bila-bila masa saja.

“Saya rasa malu dan bersalah pada puan. Kita sebagai manusia, hanya mampu merancang, tetapi Tuhan yang telah menentukan segala-galanya. Perkara mutakhir yang berlaku telah berlaku di luar dugaan. Sebelum saya dihantar keluar, sudah ada yang masuk menggantikan tempat saya. Perancangan awal saya untuk melantik puan, sebagai orang yang paling layak menduduki kerusi saya. Saya harap puan tidak kecewa dan teruskan khidmat macam biasa.” Ucapan mantan ketua yang lembut hampir memadamkan unggun yang membara sejak semalam. Malahan unggun itu sebenarnya sudah lama marak semenjak angin bertiup membawa berita kerusi panas itu bakal diisi oleh orang lama yang telah meninggalkan organisasi ini untuk mencari tapak yang lebih kukuh.

Tidak ada apa yang boleh dikatakannya lagi hanya sekadar akur pada perintah ketua. Selemah mana sekali pun dia, dia tetap ketua yang perlu dihormati.

“Saya sudah agak dari awal lagi, bahawa peristiwa seperti ini akan terjadi. Sebelum tuan sampaikan berita ini pun saya sudah mendengar khabar angin yang bertiup menyampaikan berita. Cuma saya tidak percayakan khabar angin. Amanat yang keluar dari mulut tuan ini telah menjadi sahih. Saya akur..” Hanya itu yang mampu diucapkan.

Bersabar

Meskipun dia akur namun tanpa disedarinya air mata masih juga mahu mengalir menuruni pipinya. Dia tidak pasti apakah simbol yang tersirat di sebalik lelehan air mata itu. Sedihkah dia? Kecewakah dia? Kesalkah dia?

“Berbanyak-banyaklah bersabar. Saya tahu puan adalah orang yang paling gigih bekerja dan mempunyai komitmen yang teramat tinggi dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab. Malangnya pihak atas tidak tahu kerana terlalu banyak tukang kipas yang sentiasa menunggu masa untuk merebut peluang. Orang yang jujur semacam puan ini selalunya tercicir.” Ujar mantan ketua lagi.

“Saya tahu dan saya faham. Sememangnya sejak dulu saya berada di pihak minoriti yang rugi. Diskriminasi gender berlaku di mana-

mana jabatan, meski pun ada pihak yang menafikannya. Tapi bukan itu yang saya kesalkan sangat-sangat. Perkara yang sangat saya kesali ialah, saya nampak usaha saya untuk memperbetul keadaan yang senget selama ini akan menemui jalan buntu. Saya tidak boleh melakukannya sendirian tanpa sokongan kuasa atasan. Majoriti yang ada di sini adalah kumpulan yang mengalu-alukan kepulangan ketua baru. Majoriti mereka selesa dengan keadaan sedia kala. Mereka sebenarnya amat sukar untuk berubah sekiranya angin perubahan itu tidak datang dari pihak atas.”

“Banyak-banyaklah bersabar dan berdoa semoga rezeki puan bertambah.” Ujar mantan ketua lagi.

“Insyaallah semangat saya tidak akan luntur dek peristiwa ini. Tapi satu perkara yang saya mahu tuan tahu.” kata-katanya mati di situ. Dia tidak pasti sama ada mahu meneruskan atau tidak.

“Apa dia?”

“Mungkin saya akan mohon keluar dari organisasi ini. Saya yakin khidmat saya tidak lagi diperlukan di sini. Orang yang macam saya ini tidak perlu lagi berada di institusi ini.”

Mantan ketua kelihatan mengangguk-angguk. Bayangan kerisauan masih tampak jelas di wajahnya. Mendung masih menebal.

“Perbezaan prinsip dan pendekatan tidak mengizinkan saya untuk terus berkhidmat di sini,” tambah suara halus itu lagi.

“Biarkan si luncai terjun dengan labu-labunya” Ujar mantan ketua.

Namun unggun itu tidak padam oleh ucapan mantan ketua itu. Malah unggun itu terus membara. semakin marak.

PETIKAN TULISAN DARI MINGGUAN MALAYSIA @ UTUSAN.

http://www.utusan.com.my/utusan/arkib.asp?y=2008&dt=0817&pub=utusan_malaysia&sec=sastera&pg=sa_01.htm&arc=hive

Share and Enjoy:These icons link to social bookmarking sites where readers can share and discover new web pages.
  • blinkbits
  • BlinkList
  • blogmarks
  • co.mments
  • connotea
  • del.icio.us
  • De.lirio.us
  • digg
  • Fark
  • feedmelinks
  • Furl
  • LinkaGoGo
  • Ma.gnolia
  • NewsVine
  • Netvouz
  • RawSugar
  • Reddit
  • scuttle
  • Shadows
  • Simpy
  • Smarking
  • Spurl
  • TailRank
  • YahooMyWeb

Leave a Reply

Iklaneka
Produk Terbaik

     

     

     

     

     

Live Traffic
Jom Borak Online